Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan demonstrasi perjalanan mengundi bagi yang bergejala sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Melaka semasa memberi taklimat kepada petugas media di Metrasquare Hotel, Ayer Keroh, Melaka. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2021.- Gambar hiasan.

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini semakin hangat meskipun pada awalnya dilihat agak perlahan.

Kempen sudah masuk hari keenam sudah menampakkan kesemua calon mengambil pendekatan untuk menonjolkan diri kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Jika sebelum ini, media sukar untuk mengesan pergerakan calon namun sekarang ini petugas media pula tidak menang tangan memenuhi jemputan mereka dan juga parti masing-masing.

Kebiasaannya, dalam sesuatu pilihan raya, kempen untuk hari keenam boleh dikatakan sudah masuk gear dua.

Poster-poster calon dan juga bendera-bendera parti sudah semakin banyak dipasang meskipun ia tidak begitu kelihatan selepas sehari dua diadakan penamaan calon.

Pemimpin-pemimpin parti juga bertali arus dengan susunan jadual masing-masing yang dilihat terlalu padat.

Bagaimanapun, dalam suasana norma baharu ketika ini, kempen yang dibuat oleh jentera pilihan raya tidaklah semeriah seperti biasa.

Ia disebabkan tiada aktiviti kempen secara fizikal bertemu pengundi ke rumah-rumah malah, tidak juga dibenarkan mengadakan ceramah-ceramah.

Berdasarkan pemerhatian, jika ada calon atau pun pemimpin parti mahu mengadakan sidang media, ia akan dipantau oleh penguat kuasa teruatama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semua itu dibuat dalam usaha memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) di lokasi diadakan sidang media berkenaan dipatuhi oleh pihak penganjur.

Lebih mudah kalau dikatakan tidak perlu ada penyokong-penyokong parti terlibat sama pada sesi tersebut dan hanya media sahaja dibenarkan untuk berada di situ.

Pernah juga situasi terlalu sesak dialami penulis dalam satu sidang media yang diadakan sebuah parti hingga menimbulkan keadaan kurang selesa dalam kalangan petugas media yang sepatutnya membuat liputan program berkenaan.

Langkah agresif yang dilakukan oleh pihak berkuasa  merupakan satu tindakan wajar kerana kadang kala penganjur terlupa bahawa negara masih lagi berdepan ancaman Covid-19.

Lihat sahajalah sejak beberapa hari lalu kes jangkitan wabak tersebut meningkat semula dan perkara itu boleh menimbulkan keresahan kepada masyarakat umum.

Justeru, kepada calon dan juga parti-parti politik berpada-padalah ketika berkempen dan mereka perlu ingat bahawa kita belum lagi menang dalam memerangi wabak Covid-19 yang disifatkan sebagai pembunuh secara senyap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast