Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Town Hall Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak faham kenapa calon Ketua Menteri Melaka dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak bersedia untuk berdebat.

Beliau berkata, tujuan debat dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) adalah kerana mahu setiap calon ketua menteri, sama ada dari pembangkang, Perikatan Nasional (PN) mahu pun BN menonjolkan diri mereka sebagai ketua.

“Dalam debat itu, mereka sampaikanlah apa wawasan, misi dan matlamat mereka jika dapat membentuk kerajaan negeri. Sampaikan kepada rakyat dengan jelas dan jawab apa saja soalan yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program TownHall Undi 18: Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Di Melaka semalam, Sulaiman ketika diminta mengulas cadangan itu, dilaporkan berkata, debat itu boleh diadakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai kerana waktu ini beliau mahu memberikan tumpuan kepada kerja kempen.

“Tak payahlah. Kita habiskan pilihan raya ni dululah..Kita tumpukan dulu kerja yang ada ni,” katanya seperti dilaporkan media menjawab cadangan yang dikemukakan Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH),” kata Sulaiman.

Mengenai permintaan pembangkang untuk menggunakan saluran media utama, Anwar berkata, sudah seminggu kempen PRN Melaka berlalu namun kerajaan masih mennyatakan ia masih dalam pertimbangan.

Katanya, kerajaan memaklumkan kesediaan akan membuat pertimbangan untuk memberi ruang kepada calon PRN dari pembangkang menyampaikan mesej mereka melalui media utama.

“Seperti biasalah, walau pun mereka nyata akan beri ruang tapi belum berlaku, belum ada perubahan dasar dari kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengkritik kenyataan beberapa pemimpin parti lawan yang mengisytiharkan antirasuah.

Katanya, anti rasuah bukan sekadar pengisytiharan, sepatutnya mereka harus bersedia disiasat atas semua penyalahgunaan kuasa yang berlaku ketika berkuasa.

“Saya lihat juga ada pengisytiharan anti rasuah oleh parti-parti. Soal rasuah ini bukan sekadar pengisytiharan, sepatutnya pemimpin-pemimpin kanan parti itu harus bersedia disiasat terhadap semua penyalahgunaan kuasa yang berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai SOP dan peningkatan kes jangkitan Covid-19, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mahu melihat data dahulu serta tidak mahu kesilapan berlaku di Melaka.

Beliau menyalahkan kerajaan BN dan Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd Ali Rustam kerana tidak menelitinya ketika meluluskan pembubaran DUN negeri itu.

“Kesannya tengok sekarang, SOP tak tentu arah.. apa kaitan lambang dengan kesihatan? Apakah pakai lambang itu menjejaskan kesihatan?

“Ini disebabkan tindakan gopoh gapah kerajaan BN Melaka dan tindakan gopoh TYT menyebabkan rakyat Melaka hadapi masalah. Ini yang harus kita ajak rakyat termasuk kalangan anak muda untuk menolak PN dan BN,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Debat buat apa? cakap pung pang pung ..lepas pilihanraya, jenguk rakyat pun tidak..rakyat susah, haram batang hidung tak muncul mcm ADUN PKR Klebang & Tangga Batu…Ni pengundi Klebang & Tangga Batu nak anak tempatan..susah senang, boleh jumpa anytime..rumah YB pun dekat..Bukan mcm kat Paya Rumput satu lg..si Shamsul tu org Bukit Katil bukan Paya Rumput! Apa kat Paya Rumput tak de pemimpin PKR bagus ka? Ni import org luar, habis pilihanraya lesap yer ke kulompo..PRN baru muncul balik nak berdebat…musibat ja

Comments are closed.