MELAKA – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membidas pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang didakwa terlalu ketat.
Ahli Parlimen Bagan itu bermetafora bahawa PRN yang diadakan di Melaka terlalu sendu kerana calon tidak boleh berkempen.
“PRN kali ini kita tidak boleh berkempen, mana ada pilihan raya kita tidak boleh berkempen? Ia seperti kamu hadir konsert tanpa penyanyi, tidak menyanyi lagu langsung. PRN kali ini tidak boleh bersemuka dengan pengundi.
“Tapi kami terpaksa terima kerana Covid-19 tapi masalahnya pemimpin dalam kerajaan pun kritik,” katanya dalam siaran langsung ceramah perdana PRN Melaka di Facebook DAP malam tadi.
Guan Eng berkata, sistem demokrasi tidak ada gunanya apabila kesemua calon PRN Melaka tidak boleh memperkenalkan diri mereka kepada para pengundi.
Bagaimanapun, PH terpaksa menerima hakikat bahawa cara berkempen pada pilihan raya semasa pandemik sudah berubah, katanya.
“Kalau dalam masa pandemik, kita terima tapi jangan ada pilih kasih sampai kita pakai baju berlogo parti pun kena saman. Calon berjalan pun kena saman, apa ini?
“Tapi itulah keadaan di mana negara bukan bersama nak lawan Covid-19 tapi untuk pecahbelahkan rakyat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu juga tidak berpuas hati dengan SOP PRN Melaka yang disifatkan terlalu ketat.
Anwar berkata, gabungan itu tidak setuju dengan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette