Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tekad berjuang memperbetulkan keadaan supaya semua kaum di negara ini seimbang dalam semua aspek kehidupan.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali tidak mahu parti itu hipokrit malah akan bersikap terus terang dan telus dalam pembahagian kek ekonomi negara, dasar yang satu, tiada pilih kasih demi kelangsungan keselamatan negara dan rakyat.

Kata beliau, kaum pribumi yang majoritinya 70 peratus wajib dihormati dan kehidupannya mesti selesa dahulu sebelum memberi muka kepada pihak lain atau merobek hak bangsa terjamin dalam Perlembagaan Negara.

“Inilah perjuangan Putra dan penyertaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di lima DUN adalah langkah permulaan masuk gelanggang sebagai persiapan untuk PRU-15.

“Putra adalah kuasa ketiga dan tidak terikat dengan mana-mana pihak. Kita tidak akan jual bangsa sendiri dan mempermainkan Islam untuk politik. Cemar Islam kerana politik yang bertopengkan Islam.

“Putra adalah payung bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keselamatan dan kesejahteraan yang bersih dan bermoral,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau merayu pengundi di lima DUN Melaka memberi kemenangan kepada calon Putra di kerusi Pengkalan Batu, Duyong, Paya Rumput, Sungai Rambai dan Gadek.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, pemimpin dan parti Melayu dalam semua gabungan termasuk Pas seolah hendak menghilangkan hak Melayu dan melupakan Asas Perlembagaan Negara.

Katanya, apakah kaum lain yang miskin tidak dibantu sehingga ada yang sanggup hendak mengusik Perkara 153 Perlembagaan Negara?

“Inilah contoh Ahli Parlimen Melayu Islam yang sudah hilang jati diri. Ada kala lebih membela kaum lain dari kaum sendiri untuk mendapat undi semata- mata, sedangkan hak dan maruah bangsa tidak dipedulikan.

“Cuba lihat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kaum lain, mereka lantang dan berani memperjuangkan kepentingan kaum sendiri walaupun jelas bertentangan dengan Asas Perlembagaan Negara.

“Adakala sampai bersifat kurang ajar dan angkuh, tetapi parti Melayu dan Islam yang hipokrit terus apologetik, malu alah dan dayus. Semua sudah jadi liberal tidak bertempat,” ujarnya.

Beliau mempersoalkan, cukupkah pinjaman dari skim Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), pinjaman Tekun untuk mengangkat martabat bangsa yang juga turut dinikmati kaum lain.

Katanya, lebih menyedihkan Melayu dan peribumi hanya layak menduduki rumah bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) atau flat bandaraya sahaja, sedangkan kaum lain minta ditambah ‘cabutan khas’ judi yang berganda jumlahnya.

“Semua ini diluluskan, nak guna nama Timah pada minuman keras pun diluluskan. Jika ada bantahan, sekadar melepaskan batok di tangga sahaja. Inilah pemimpin yang tiada harga diri dan maruah serta tunduk kepada kehendak kaum lain.

“Adakah kita dengar suara yang tegas dan berterusan hendak sekolah satu aliran? Adakah kamu mendengar suara yang lantang dan menggila menggesa dana tambahan untuk sekolah tahfiz dan agama rakyat?

“Terlalu banyak isu ekonomi, pendidikan, perumahan, pekerjaan dan bertimbun lagi kesusahan Melayu dan peribumi tidak dipedulikan,” katanya.

Menurut Ibrahim, ini termasuklah pembentangan rancangan pembangunan lima tahun (RMK) dan belanjawan hanya sedap didengar namun tidak dirasai ke ‘tulang’ kaum peribumi apatah lagi umat Melayu.

Beliau berkata, ramai mahu menjadi pahlawan dan wira kepada kaum lain berbanding kaum sendiri, sebagaimana contoh Ahli Parlimen PH dari Pasir Gudang.

“Nampaknya sifat atau perangai pemimpin Melayu, Islam bertambah buruk. Agenda retorik mereka hanya mainan sentimen politik ‘menang sorak, kampung tergadai’ dengan bangsa sendiri semakin terhakis.

“Kaum lain yang tidak mahir bahasa Kebangsaan tidak menjadi masalah. Kakitangan AIM pun katanya, melatih pegawainya supaya pandai berbahasa kaum lain, kononnya bagi memudahkan berurusan. Tidak sakit jiwakah kita hal seumpama ini berlaku?

“Melayu bakal hilang segalanya jika pemimpin seperti ini bertambah dan terus dipilih oleh orang Melayu untuk duduk dalam DUN atau Parlimen. Melayu kena pilih calon Melayu dari parti Melayu yang tegas, berani dan ada jati diri serta yang bersih dan bermoral,” katanya.

Beliau juga berkata, sesiapa yang mengusik atau cuba mengubah Fasal 151, 152, 153 dan Asas Perlembagaan Negara yang dipersetujui melalui perjanjian ‘sosial kontrak’ adalah musuh kepada orang Melayu.

Tegasnya, tidak ada tolak ansur, walaupun mereka mendakwa tidak usik, malah menyokong, tetapi jika diperhati dan lihat ucapan kaum ini, desakan, tekanan serta resolusi mereka semakin melampau.

“Lihatlah tekanan agar kerajaan meluluskan sijil UEC. Kerajaan pula memberi peruntukan kepada program yang bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

“Semuanya menjadi double standard dan Dasar-Dasar Negara menjadi kecamuk kerana ketidaktegasan pemimpin Melayu yang sudah hilang jati diri. Ada yang besar kepala dan seronok bila mendapat tepukan daripada lain-lain kaum.

“Putra lahir dalam suasana politik berkecamuk dan kuasa politik orang Melayu serta peribumi dalam tanda tanya masa depan yang amat menakutkan. Putra lahir suci dalam debu tatkala keadaan politik yang semakin meruncing dan kotor,” katanya.

Beliau berkata, politik rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan wang, keborosan dalam perbelanjaan, tidak menghormati ‘rule of law’ mengakibatkan hutang negara kini mencecah RM1.3 trilion.

Tidak cukup dengan beban hutang negara, kini simpanan rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila bersara nanti lebih dari 75 peratus tidak mungkin dapat menampung kehidupan masa depan kerana baki tidak mencukupi.

Malah, pada masa sama, ada pemimpin Melayu menyembunyikan simpanan di luar negara seperti yang terdedah dalam skandal Pandora Papers yang bernilai berbilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast