MACHAP JAYA – Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membuka ruang kepada semua 112 calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menonjolkan diri masing-masing di kaca televisyen dan radio bermula esok.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, langkah yang dibuat adalah dengan menyiarkan biodata dan gambar mereka mengikut slot dan kekerapan yang akan disusun.
Bagi tujuan itu,, RTM telah menghubungi calon-calon tersebut untuk menghantar biodata berserta gambar masing-masing.
“Mengambil kira ada benarnya kesulitan bila berkempen dan ada yang menyebut calon-calon yang baru sukar untuk mengenali calon-calon yang bertanding di kawasan mereka maka, kita bersetuju untuk RTM menambah kekerapan menyiarkan biodata-biodata dan potret-potret calon bertanding mulai esok.
“Kita telah minta RTM dan juga radio untuk mengadakan slot-slot masa yang tidak mengganggu program-program yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Annuar berkata, slot tersebut akan diulang siar beberapa kali sepanjang tempoh musim berkempen dalam usaha membantu calon memperkenalkan diri tanpa menimbulkan sebarang polemik atapun kotroversi.
“Ini bukan masalah, kita bukan adakan debat kerana ada juga yang minta agar calon-calon muncul di televisyen (untuk berdebat).
“Tapi setelah kita fikirkan kerana ada lebih 100 calon dan kalau ada pilihan raya di Sarawak pula yang mungkin ada 500 calon kita merasakan tidak munasabah untuk perkara itu (debat) diadakan,” ujarnya.
Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menuntut agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi ruang sekurang-kurangnya 30 minit bagi setiap calon untuk berceramah di stesen televisyen milik kerajaan seperti TV1, TV2 dan Bernama TV pada setiap malam.
Menurut Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH, KKMM juga wajar memberi ruang sekurang-kurangnya 60 minit bagi setiap parti pada setiap hari untuk berceramah menggunakan Melaka FM dan Bernama Radio.
Terdahulu Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyampaikan komputer riba kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.
Komputer riba tersebut akan digunakan oleh jentera berkenaan bagi memudahkan urusan sepanjang kempen yang akan berlangsung sehingga tarikh membuang undi pada 20 November nanti. – MalaysiaGazette