Calon Gadek N07, VP Shanmugam yang juga calon tunggal MIC dalam PRN Melaka.

MELAKA – Calon tunggal MIC bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, VP. Shanmugam begitu sibuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Malah ketika MalaysiaGazette cuba mengadakan pertemuan dengannya, beliau kelihatan tergesa-gesa untuk ke beberapa lokasi seterusnya.

Menurut beliau, jadualnya ketat dan mahu menemui masyarakat seramai mungkin.

Bagaimanapun setelah dipujuk, Shanmugam akhirnya bersetuju untuk ditemuramah tetapi di dalam kereta.

Walaupun ketika ditemui beliau sedang berpuasa dan kelihatan letih namun masih masih bersemangat membicarakan mengenai keperluan penduduk di Gadek.

“Semuanya berlaku sekelip mata sahaja sebenarnya, terpilih sebagai calon ini saya anggap sebagai satu rahmat walaupun penat macam mana pun.

“Jika anda hendak tahu, jadual harian ini memang sangat ketat, 24 jam tidak cukup. Saya tidak bergurau atau sengaja tidak ada masa untuk anda (wartawan) memang masa itu emas walaupun seminit.

“SOP juga ketat dan perjalanan kempen politik tidak seperti yang dulu-dulu, pastinya sedikit sukar dan kita semua kena bekerja keras, saya memang cukup berterima kasih dengan jentera UMNO BN serta MIC yang ketika ini kerja siang malam.

‘Saya bukan berasal dari sini tetapi isteri saya adalah orang Gadek, itulah yang menyebabkan saya sentiasa dekat dengan penduduk sini.

“Bukan sahaja politik sebaliknya kerjaya saya yang menceburi bidang keusahawanan selain terlibat dengan golongan belia secara langsung menyebabkan saya menjadi people person dari awal lagi.

“Bertemu masyarakat setempat, selesaikan isu mereka saban kali bukanlah sesuatu yang baharu buat saya.

“Malah ini adalah sesuatu yang sudah ada dalam diri sejak puluhan tahun kerana itu juga apabila menjadi calon, ianya begitu senang kerana muka saya bukanlah begitu asing di Gadek,” katanya.

Calon Gadek N07, VP Shanmugam yang juga calon tunggal MIC dalam PRN Melaka.

Kata Shanmugam, beliau sebenarnya fokus kepada tiga perkara di Gadek seperti pemerkasaan belia termasuklah melaksanakan projek rumah mampu milik, peluang perniagaan yang sememangnya satu keperluan pada masa ini.

Selain itu, katanya, isu-isu lain seperti isu tanah, kuil, peluang pekerjaaan juga keadaan pandemik Covid-19.

Namun pada masa sama, Shanmugam bimbang dengan masalah utama penduduk Gadek yang sering berdepan dengan musibah banjir.

“Sebelum ini, ketika kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib  Razak, memang ada peruntukan sebanyak RM30 juta dari kerajaan Persekutuan namun usaha itu tidak dapat direalisasikan selepas pertukaran kerajaan.

“Saya akan sedaya upaya fokus kepada isu utama ini kerana hakikatnya ini bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya antara yang sentiasa menghantui penduduk, kasihan mereka. Jika diberikan mandat pastinya sesuatu akan dilakukan dalam isu ini dan juga perkara-perkara lain,” ujarnya.

Tanpa rasa bongkak, Shanmugam meletakkan keyakinan cukup tinggi bagi kerusi Gadek akan berpihak kepadanya.

“Jika menang, tanggungjawab besar akan digalas oleh saya. Kepercayaan rakyat ketika memberikan undi itu akan saya pegang, kalau kita tabur bakti dengan rakyat retorik pastinya kemenangan itu pada pihak kita.

“Ramai pengundi tampil memberikan semangat kepada saya, tepuk beri kata-kata semangat. Saya cukup terharu, tetapi anda perlu menilai sendiri keupayaan dan kemampuan kita ini. Tidak cukup dengan hanya kata-kata sahaja. Saya tidak mahu bercakap kosong sahaja sebaliknya track record itu akan buktikan,” jelasnya.

Pada 2018, MIC gagal mempertahankan kerusi berkenaan selepas calonnya P Panirchelvam kalah kepada Saminathan dengan hanya majoriti 307 undi dengan seramai 12,922 pengundi berdaftar di DUN berkenaan ketika itu.

Shanmugam berdepan dengan enam penjuru dengan antara pesaingnya, penyandang G. Saminathan (PH), Mohd Amir Fitri Muharam (PN), Laila Norinda Maon (Putra), Azafen Amin (Bebas) dan Mohan Singh (Bebas).

Untuk makluman, Shanmugam merupakan seorang usahawan dan ahli perniagaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari North Borneo University College juga pernah memenangi Anugerah Tokoh Belia Negara.

Pada PRN kali ini, BN telah menampilkan 28 calon sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.

BN juga menggunakan tema Kestabilan Demi Kemakmuran pada PRN Melaka bagi menarik sokongan pengundi kerana kestabilan amat penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast