JASIN – Langkah kerajaan memberi ruang kepada semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk memperkenalkan diri menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilihat boleh menyuburkan semangat demokrasi di negara ini.
Calon Barisan Nasional (BN) N25 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, platform itu membuka peluang kepada semua calon parti politik yang bertanding di atas padang yang sama rata.
“Bila Tan Sri mengumumkan perkara itu, ianya sesuatu yang sangat baik sebab membantu calon-calon seperti kami. Kita mengamalkan demokrasi, kita nak tunjukkan kerajaan sekarang ini mengamalkan demokrasi.
“Saya setuju, semua orang kena ada padang sama rata, di lapangan semua pihak kena patuhi SOP. Kalau tak betul kompaun lah, tak kisah, tak kira parti politik, asalkan pertandingan adil untuk semua orang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kafe Markisa, di sini, hari ini.
Bermula esok, semua calon yang bertanding dalam PRN Melaka akan diberi ruang untuk memperkenalkan diri menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, ia hanya terhad kepada pengenalan biodata dan poster calon bertanding.
Kebenaran itu diputuskan dengan mengambil kira kesukaran calon bertanding untuk berkempen dalam situasi norma baharu.
Khaidhirah tidak menafikan beliau sendiri sukar melakukan kempen pilihan raya yang pertama buat dirinya, apatah lagi prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekang pergerakan jentera BN.
“Secara fizikal kita sudah banyak pun di mana banyak SOP yang mengekang pergerakan kita untuk berkempen
“Jadi memang platform seperti ini temubual, live Facebook, online, media sosial, media arus perdana RTM dan sebagainya.
“Itu sahaja ruang yang kita ada sebagai calon, tak kisah parti apa pun. Di lapangan, undang-undang itu bukan satu parti sahaja tapi semua parti walaupun calon bebas.
“Semua yang bertanding kena ikut SOP itu, parti apa pun, tidak timbul soal diskriminasi dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette