Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bercakap di sidang media khas susulan kenyataan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka di Hotel Casa Del Rio, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.
Datuk Seri Idris Haron. Foto MOHD ADZLAN, 05 OKTOBER 2021.

JASIN – Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun berkempen bagi Pakatan Harapan (PH).

Secara sinis, Idris berkata, langkah itu bagi mengelakkan parti-parti dalam kerajaan yang bertembung sesama sendiri di 28 kerusi di PRN Melaka kali ini berkecil hati terhadap Ismail Sabri.

“Saya pun tidak pasti PM nak kempen yang mana, takut PM kempen BN (Barisan Nasional) nanti, PN (Perikatan Nasional) pula kecil hati, bila PM kempen PN, nanti BN pula kecil hati, jadi PM tak kempen BN tak kempen PN juga.

“Kempenlah PH, begitunya gaya yang saya nampak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu mengulas mengenai kehadiran Ismail Sabri yang turun ke sekitar Melaka dan sempat melawat beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Difahamkan kehadiran beliau untuk memberikan kata-kata semangat kepada calon-calon BN yang bertanding pada PRN Melaka 20 November ini.

Mengulas lanjut, Idris tidak menolak kemungkinan lawatan Ismail di Melaka hanyalah untuk menyampaikan konsep Keluarga Malaysia yang dicanang beliau.

“PM turun ini mungkin untuk menggalakkan pengundi mengundi secara berhemah dan PM tidak boleh terlalu ekstrem untuk menyokong BN kerana di dalam Kabinet beliau ada menteri PN. Jadi nak sokong PN pun tak boleh kerana beliau daripada BN.

“Kalau saya berada dalam kedudukan PM, saya turun sini saya bawak mesej keluarga Malaysia pilihlah kerajaan yang tidak rasuah dan bersih, bertanggungjawab dan tidak mendiskriminasi kalau boleh pilih kerajaan yang tiada campur tangan daripada tangan-tangan ghaib.

“Saya rasa itu nasihat PM kepada rakyat negeri Melaka supaya undi kerajaan yang bersih, bertanggungjawab dan bebas daripada rasuah,” jelas beliau lagi. – MalaysiaGazette