ALOR GAJAH – Tempoh 22 bulan berkhidmat sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tidak cukup untuk menjayakan pelbagai usaha yang pernah dirancang demi rakyat khususnya di Rembia.
Itu luahan calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi N.06 Rembia, Zamzuri Arifin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Tujuan saya nak jadi calon ni adalah bukan untuk diri sendiri. Sebenarnya, saya lebih banyak bekerja untuk rakyat jelata,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan PN, di sini, hari ini.
Tambah Zamzuri, begitu banyak pembangunan telah dilakukannya di sekitar Alor Gajah untuk membantu sosio ekonomi dan menaik taraf kehidupan penduduknya.
Justeru, sebagai anak jati, beliau berazam untuk memastikan kemenangannya bagi meneruskan kesinambungan usaha dan kerja yang belum selesai.
Selain ingin melestarikan pembangunan bandar Alor Gajah serta memacu pembangunan, Zamzuri berhasrat untuk mempertingkat sistem perparitan supaya lebih efisien bagi mengelakkan masalah banjir berulang.
Beliau turut berhasrat membina kompleks mini stadium di kawasan berkenaan bagi meningkatkan aktiviti sukan terutamanya golongan belia.
Ditanya mengenai cabaran berkempen dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), katanya, terdapat perkara yang positif daripada pelaksanaan itu.
Tambah beliau, sebelum ini apabila dibenarkan berceramah dan berkempen bertemu pengundi secara bersemuka banyak fitnah yang keluar semasa berkempen.
Kawasan Dewan Undangan Negeri Rembia yang mempunyai 15,756 pengundi berdaftar bakal menyaksikan persaingan lima penjuru antara Zamzuri, Zamri Pakiri (PH-PKR), Datuk Muhammad Jailani Khamis (BN-UMNO) serta dua calon bebas iaitu K.Murali dan Sabarudin Kudu. – MalaysiaGazette