TELOK MAS – Barisan Nasional (BN) menyambut baik langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang membenarkan semua parti politik memperkenalkan calon masing-masing menerusi saluran televisyen milik kerajaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden berkata, langkah perlu disegerakan memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki enam hari lagi menjelang hari pengundian pada 20 November ini.
“Saya rasa ini cadangan yang baik perlu diusahakan seberapa segera yang boleh.
“Sekurang-kurangnya kita boleh memberi ruang kepada calon kita untuk memberi apa juga hala tuju apabila menang nanti.
“Ia penting apabila dipilih mudah calon-calon yang menang ini untuk membangun kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Gerai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Kampung Alai, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman bersarapan serta menyantuni rakyat Telok Mas di sekitar Gerai Coconut Share Alai, di sini.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annaur Musa berkata, kerajaan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula hari ini.
Annuar berkata, penyiaran poster dan biodata calon itu akan dialu-alukan sekerap mungkin, adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat pada PRN Melaka kali ini.
Mengulas lanjut, Bung Mokhtar berkata, masalah kemudahan asas di Melaka tidak serumit yang dihadapi rakyat Sabah ketika ini khususnya kemudahan asas.
“Di Melaka ini tiada masalah yang terlalu besar, saya lihat dibandingkan dengan kawasan di Sabah, di mana kita mempunyai masalah asas air, elektrik dan jalan raya.
“Di sini dia punya masalah cuma sistem perparitan dan usahawan-usahawan kecil perlu dibangunkan
“Bila seorang wakil rakyat itu menang, dia boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab politik selepas dilantik sebagai wakil rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette