Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto HAZROL ZAINAL, 14 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Rakyat Melaka perlu berani membuat perubahan pada kali ini menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ujarnya, kekayaan negeri Melaka mesti diurus dengan jujur, amanah dan berintegriti agar hasil kemakmurannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya percaya rakyat negeri Melaka telah berasa amat terkilan dengan laporan-laporan media mengenai pelbaga dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri Melaka oleh pihak-pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

“Tiada gunanya kita menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri kepada mereka yang kita sendiri tahu akan meneruskan tabiat kepimpinan yang rakus kuasa dan tamak haloba untuk kelompok kelompok tertentu dan diri sendiri,” katanya ketika melancarkan Ikrar PN untuk Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memperincikan enam tunjang utama ikrar PN yang mana salah satunya adalah keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran hari ini adalah Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang mewakili Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut hadir Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan tarikh mengundi awal adalah pada 16 November. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast