Fadillah Yusof

KUCHING – Pemilihan kontraktor penyiap bagi menyelamatkan projek ‘sakit’ yang lewat pembinaan atau gagal siap mengikut jadual dilakukan melalui proses saringan ketat oleh Kementerian Kerja Raya.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata ini bagi memastikan hanya kontraktor yang mempunyai rekod prestasi baik sahaja dipilih bagi menyelamatkan sesuatu projek.

Beliau berkata, antara aspek penilaian yang dilihat termasuk kekuatan kewangan, pengalaman serta keupayaan teknikal juga aset-aset syarikat kontraktor tersebut.

“Mereka harus mempunyai rekod prestasi baik. Adalah lebih cepat untuk kita memulihkan projek berbanding jika kita ikut proses biasa untuk buka semula tender dan sebagainya yang ambil masa lama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sesi libat urus bersama media di sini hari ini.

Fadillah menjelaskan buat masa ini pengambilan kontraktor penyiap dilaksanakan melalui permohonan terbuka.

“Kita ambil mereka melalui pelawaan secara terbuka. Kita buka supaya mereka boleh mohon dan dari situ kita buat saringan.

“Yang memohon untuk menjadi kontraktor penyiap ini memang ramai tetapi yang dapat sedikit (kerana saringan ketat),” katanya.

Semalam, Fadillah berkata sebanyak 15 projek infrastruktur Kementerian Kerja Raya di Sabah dan Sarawak diklasifikasikan sebagai projek ‘sakit’ yang lewat pembinaan serta gagal siap mengikut jadual.

Beliau berkata kontraktor penyiap baharu juga telah dan akan dilantik kementeriannya bagi menyiapkan projek-projek tersebut. – MalaysiaGazette