Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama calon Barisan Nasional N.23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (dua kanan) beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir sarapan pagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Coconut Shake Alai, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 NOVEMBER 2021.

TELOK MAS – Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas merupakan destinasi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun padang dalam kunjungannya hari ini.

Kehadiran Ismail Sabri bagi membantu memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Seperti pemimpin parti politik lain yang bertanding, Ismail Sabri juga tidak melepaskan peluang untuk bersarapan sambil beramah mesra dengan rakyat tempatan di Gerai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Kampung Lai, di sini, pagi ini.

Perdana Menteri meluangkan masa hampir sejam mengunjungi gerai-gerai makanan sambil bertanya khabar penduduk setempat dan peniaga.

Memandangkan Suruhan Pilihan Raya (SPR) mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, Ismail Sabri juga dilihat tidak melakukan kempen secara fizikal seperti mana pilihan raya terdahulu.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sempat melayani permintaan rakyat untuk berswafoto bersama pemimpin negara itu.

Dalam kunjungan itu, Ismail Sabri ditemani calon BN kerusi N23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast