KUALA LUMPUR – CGS-CIMB Securities Sdn Bhd (CGS-CIMB) telah menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tahun 2021 daripada 3.9 peratus tahun ke tahun kepada 3.5 peratus tahun ke tahun, sekali gus mencerminkan prestasi KDNK yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku ketiga 2021.
Namun begitu, firma penyelidikan itu berkata berikutan kelonggaran progresif langkah pembendungan sejak pertengahan Ogos, aktiviti ekonomi dan pasaran tenaga kerja telah pulih daripada kemerosotan pada bulan Julai.
“Justeru, momentum pemulihan dijangka dapat diteruskan pada suku keempat 2021 dengan semua negeri telah beralih kepada sama ada Fasa Tiga atau Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), di tengah-tengah penerusan dasar fiskal dan kewangan yang akomodatif,” katanya dalam satu penyelidikan nota hari ini.
Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, berbanding pertumbuhan 16.1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2021.
Sementara itu, Ambank Research turut menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK 2021 kepada 3.5 peratus tahun ke tahun, dengan andaian KDNK suku 2021 akan berkembang sebanyak 3.4 peratus. – MalaysiaGazette