Foto: Facebook

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) hari ini, mengesahkan laporan yang tular berhubung ada peniaga di Pasar Kedai Payang dijangkiti disebabkan Covid-19.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, laporan yang mendakwa ada kematian di kalangan peniaga yang positif adalah tidak benar.

“Memang terdapat jangkitan dalam kalangan peniaga di pasar itu, tetapi tiada kes kematian dilaporkan.

“Malah, bermula 31 Oktober hingga 13 November lalu, seramai 36 atau 3.6 peratus daripada 1,000 peniaga di pasar itu telah diasingkan dan diberikan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, seramai dua peniaga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu seorang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang lagi di wad Covid-19.

Kata Dr. Kasemani, kedua-dua pesakit itu telah dibenarkan pulang dan semua kontak rapat telah dikenal pasti serta menjalani kuarantin.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih agar tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“JKNT akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya bagi memastikan penularan Covid-19 dapat disekat,” katanya. – MalaysiaGazette