ALOR GAJAH – Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat masih dilihat membayangi tempoh kempen selama 12 hari di di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Memasuki hari ke lapan kempen, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, pelaksanaan itu ternyata menjejaskan perjalanan kempen dan menyukarkan dirinya untuk mendekati pengundi.
“Sebenarnya, ini sedikit sebanyak menyebabkan kita sukar untuk kempen sebab pengundi nak kenal dengan calon mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Beliau yang bersarapan dengan para pengundi Paya Rumput hari ini berkata, mana-mana calon tidak lagi boleh bergantung kepada strategi lama dan harus beralih kepada kempen di media sosial kerana pelaksanaan SOP yang ketat.
Menurut beliau, dirinya dan jentera parti perlu lebih kreatif dalam memastikan kempen untuk merampas kembali kerusi ini daripada Parri Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Ini bergantung kepada kreativiti calon. Macam saya, selain daripada sosial media dan media cetak saya juga melibatkan trak LED yang kita promosi dan apa tawaran kita dan apa yang kita nak suarakan kepada rakyat
“Ini adalah bukan sahaja kerana saya anak tempatan namun saya sentiasa ada bersama mereka dan mendengar rintihan dan apa yang diperlukan.,” katanya lagi.
Ditanya mengenai cara berkempen, Rais akan sedaya upaya menggerakkan jentera untuk mendekati pengundi dan mengelakkan kempen yang tidak sihat.
“Kita tidak melibatkan kempen-kempen tidak sihat, fitnah dan sebagianya, kita lebih memikirkan apa yang kita mahu beri kepada pengundi di DUN Paya Rumput jika dipilih nanti,” kata calon anak tempatan itu.
DUN Paya Rumput menyaksikan pertembungan lima penjuru antara BN (Datuk Rais Yasin), Pakatan Harapan (Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin), Perikatan Nasional (Muhammad Faris Izwan Mazlan), PUTRA (Mohamad Hashidi Mohd Zain) dan calo bebas (Mohd Jaini Dimon).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, calon PH, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memanangi kerusi ini dengan majoriti 4,259 undi. – MalaysiaGazette