MELAKA – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, G Saminathan (Pakatan Harapan) menyelar pihak yang menuding jari hanya mahu menarik perharian pengunding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau tidak faham mengapa kerajaan PH dipersalahkan kerana masalah banjir di Gadek tidak dapat diselesaikan memandangkan ia berpunca daripada Batang Melaka.
Beliau mendakwa, isu banjir bukannya baharu, sebaliknya ia telah wujud sejak 1970 an dan kerajaan terdahulu tahu mengenainya.
“Saya tidak faham apabila ada calon BN (Barisan Nasional) yang bertanding mendedahkan ada peruntukan berjuta inggit bagi menyelesaikan isu banjir oleh Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017 namun apabila kerajaan bertukar kepada PH, peruntukan itu tidak kunjung tiba.
“Selepas kerajaan PH tumbang, yang menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan adalah BN selama lebih dua tahun, calon BN Gadek menjadi penyelaras DUN selama ini, mengapa tidak dapatkan dana itu?,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Saminathan, beliau tidak pasti tentang jumlah peruntukan yang disebut calon BN, VP Shanmugam, sama ada RM3 juta atau RM30 juta, untuk menyelesaikan isu banjir di DUN Gadek.
Tambah beliau, jika mempunyai peruntukan maka Shanmuigam perlu menyatakan bila ia diluluskan dan apakah perancangan seterusnya.
Saminathan berkata, beliau melalui kerajaan negeri pimpinan PH juga pernah berusaha untuk menyelesaikan masalah banjir di Gadek sebelum ini dan ia akan diteruskan jika dipilih sekali lagi menjadi wakil rakyat pada PRN Melaka.
“Saya tidak mahu retorik, selagi yang mampu saya akan sedaya upaya. Mandat yang diberikan oleh warga Gadek tidak pernah saya persiakan sebelum ini dan selepas ini juga. Itu janji saya.
“Saya juga enggan melakukan kempen menuding jari sebaliknya rintihan dan keluhan rakyat itu yang akan saya utamakan,” katanya. – MalaysiaGazette