Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperhalusi dan mengkaji secara komprehensif berhubung kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi mengelak beban kewangan lebih besar kepada kerajaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa sama kerajaan tetap akan menjaga kebajikan pekebun kecil dan industri getah negara.

Katanya, hasil kajian impak pelaksanaan IPG yang sedang berjalan sekarang akan dibentang kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan selanjutnya.

“IPG adalah satu insentif yang disediakan kerajaan untuk meringankan beban ekonomi pekebun kecil getah kesan dari kejatuhan harga getah.

“Di samping itu, pelaksanaan IPG juga bertujuan untuk memberi galakan kepada pekebun kecil agar terus menoreh bagi menjamin bekalan getah domestik dapat memenuhi keperluan sektor pemprosesan dan hiliran getah negara,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pengeluaran getah negara berjumlah 514,702 tan dengan 458,281 tan atau 89 peratus dihasilkan oleh sektor kebun kecil.

Kata beliau, sekiranya pengeluaran pekebun kecil getah berjumlah 500,000 tan setahun dan purata harga di ladang di bawah RM2.50 sekilogram, adalah dianggarkan RM1 bilion setahun peruntukan tambahan diperlukan jika PHP IPG dinaikkan sebanyak RM1 sekilogram kepada RM3.50.

Jelas Zuraida, jumlah peruntukan IPG itu dijangka meningkat lebih tinggi sekiranya harga getah asli dunia mengalami tren penurunan yang mendadak jauh di bawah PHP IPG.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (JPPIPG) yang dianggotai kementeriannya, Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri sedang melaksanakan IPG bagi tempoh lima tahun pertama (2015-2020).

“Kajian itu bermula pada Februari lalu dan dijangka selesai Disember ini. Antara objektif kajian adalah mengemukakan cadangan penambahbaikan komprehensif pelaksanaan IPG serta cadangan alternatif bagi IPG. – MalaysiaGazette