Calon Barisan Nasional (BN) DUN N.16 Ayer Keroh, Yong Fun Juan hadir melawat pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Melaka, Ayer Keroh. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Para pengundi diingatkan menjaga keselamatan dan kesihatan sepanjang proses pengundian sama ada undi awal mahu pun pada hari mengundi sebenar pada Sabtu ini.

Calon Barisan Nasional (BN) N016 Ayer Keroh, Yong Fun Juan berkata, meskipun proses pengundian awal bermula hari ini berjalan lancar namun rakyat diingatkan tidak leka untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Saya melihat suasana tempat membuang mengundi berjalan dengan lancar yang penting dijalankan secara teratur mengikut SOP yang ditentukan oleh sebab kita dalam mendepani cabaran Covid-19.

“Saya tengok pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi lain telah menjalankan tugas dengan baik sekali, semua mengikut SOP.

“Walaupun kita dalam pilihan raya, penting untuk kita jaga kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan para pengundi di DUN Ayer Keroh dan Melaka keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Terdahulu Fun Juan mengunjungi pusat mengundi awal di situ selama 30 minit bagi melihat sendiri proses pengundian awal dalam suasana norma baharu pertama kali dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Fun Juan juga mengakui, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini sangat berbeza berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang ditandingi sebelum ini kerana Covid-19.

Kali ini, katanya, pengundi perlu membuang undi dengan keadaan norma baharu dengan SOP ketat.

“Ini pertama kali (mengundi norma baharu) sebab sebelum itu 2013 saya memang pernah bertanding di kawasan sama dan kita terpaksa menjalani pilihan raya ini dengan norma baharu secara tidak pernah dihadapi sebelum ini.

“Semua urusan kena guna norma cara baharu berlandaskan kepada kesihatan dan kesejahteraan,” katanya.

Sementara itu, Fun Juan mengakui menghadapi kesukaran untuk menilai sentimen pengundi pada pilihan raya kali ini disebabkan kekangan untuk berkempen secara fizikal.

“Sampai sekarang saya cuba sedaya upaya sebab dalam norma baharu ini kita tak dapat buat seperti biasa. Kebanyakan kita cuma boleh lakukan secara maya atau menerusi media sosial atau bagi risalah pun kena pergi rumah ke rumah.

“Kita tak dapat betul-betul menilai sentimen atau sokongan penduduk pengundi, tapi kita dengan kerjasama pasukan saya, kita akan cuba sedaya upaya,” katanya.

Beliau yakin dengan perkhidmatan kepada rakyat bukan setakat musim pilihan raya sahaja  mampu memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih BN semula di Melaka.

“Kita dari dulu lagi kita tak pernah mengabaikan tanggungjawab kita walaupun semasa 22 bulan kita menjadi pembangkang di negeri ini.

“Kita harap momentum ada di pihak kita sebab kita satu parti yang berpegang kepada bekerja keras berkhidmat untuk rakyat dan berpegang kepada janji kita,” katanya.

Beliau turut meletakkan keyakinan dengan kerja secara berpasukan, pengundi dijangka akan memberi peluang kepadanya bagi mewakili kawasan DUN Ayer Keroh pada Sabtu ini.

“Kita cuba menghadapi PRN ini dengan lebih terbuka dan setiap apa yang kita hadapi, rungutan dan masalah kita akan pergi selesaikan.

“Bukan pada hari ini sahaja, bahkan sejak dahulu lagi kita memulakan bantuan atau mendampingi pengundi-pengundi khasnya untuk DUN Air Keroh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast