Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTeM menunjukkan jari yang berbekas dakwat kekal pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Durian Tunggal, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

AYER KEROH – Sebanyak 89.90 peratus atau 10,390 orang pengundi yang terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis melaksanakan tanggungjawab dengan mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.

Sebanyak 31 pusat mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mula dibuka pukul 8 pagi tadi bagi membolehkan 11,557 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta polis.

Daripada jumlah itu, 24 pusat mengundi awal dibuka khusus untuk anggota polis, manakala tujuh pusat lagi, dengan empat daripadanya berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, membabitkan pengundi tentera dan pasangan.

DUN Sungai Udang merupakan antara kerusi yang merekodkan jumlah pengundi awal tertinggi pada PRN Melaka, iaitu melebihi 40 peratus daripada keseluruhan 22,793 pengundinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast