Calon Barisan Nasional N.04 Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali semasa membuat lawatan pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berpuas hati dengan perjalanan proses pembuangan kertas undi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu berkata, ia berjalan mengikut aturan seperti yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya yakin, proses pembuangan undi ini akan berjalan dengan teratur dan lancar, tambahan pengundi awal ini adalah dari kalangan badan beruniform yang sangat berdisiplin,” kata Sulaiman.

Sebelum itu, beliau menyantuni para pengundi yang berbaris di luar dewan pengundian awal di 96 Depot Pangkalan Peluru, Kem Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Seramai 289 anggota tentera dan pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka dan tinjauan mendapati para pengundi sudah mula berbaris seawal 7.45 pagi untuk tujuan itu.

Sulaiman tiba di sini pukul 9.15 pagi untuk meninjau sendiri proses pengundian.

Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan bagi DUN yang sama, Mohd Asri Ibrahim juga dilihat tiba sekitar 9.35 pagi untuk meninjau proses pembuangan undi awal di tempat yang sama.

Calon Pakatan Harapan N.04 Lendu, Mohamad Asri Ibrahim semasa membuat lawatan pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 16 NOVEMBER 2021.

Beliau turut dilihat menyantuni pengundi awal yang berbaris di luar dewan pengundian berkenaan sebelum beredar kira-kira 10 minit kemudiannya.

Seramai 11,557 orang pengundi membabitkan 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis akan menjalankan tanggungjawab demokrasi mengundi awal hari ini di 24 kawasan Dewan Undangan Negeri.

SPR memaklumkan, setakat 11 pagi, peratus keluar mengundi bagi undi awal adalah 39 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast