Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama calon Perikatan Nasional N06 Rembia, Zamzuri Arifin (kanan) beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir makan tengahari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Tempoh berkempen berbaki empat hari lagi perlu digunakan sebaiknya semua calon Perikatan Nasional (PN) untuk mendekati pengundi ‘atas pagar’ bagi memastikan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, memasuki 10 hari berkempen hari ini, beliau berpuas hati dengan semangat ditunjukkan semua 28 calon PN malah rakyat juga semakin menerima baik calon-calon muda yang diketengahkan.

“Kita lihat dari hari permulaan ramai orang tidak yakin dengan calon-calon kita tapi bila dah sampai beberapa hari ini nampaknya calon kita lebih popular daripada mana-mana calon yang lain.

“InsyaAllah saya lebih yakin dua, tiga hari ini kalau kita kerja lebih keras lagi mungkin yang mana pengundi ‘atas pagar’ akan kembali swing (beralih) kepada kita,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan lawatan kerja di Telok Mas di sini hari ini.

Hadir sama calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin menziarahi rumah Ketua UMNO Telok Mas sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Telok Mas, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2021.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berdasarkan pertemuannya dengan beberapa penduduk, ramai yang meminta bantuan daripada PN membuktikan parti itu mendapat kepercayaan rakyat.

“Kerana itulah, keadaannya hari ini bila berjumpa orang ramai, mereka meminta pertolongan saya yang mana itu bermakna masih ramai yang belum membuat keputusan.

“Kempen calon-calon kita pun agak baik dan turun ke bawah membuktikan mereka boleh jadi wakil rakyat kepada anak-anak tempatan,” katanya.

PRN Melaka Sabtu ini menyaksikan pertandingan 112 calon bertanding merebut keseluruhan 28 kerusi DUN.

Daripada jumlah berkenaan, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast