KLEBANG – Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) memberi jaminan akan memberi bantuan sewajarnya kepada kedua-dua keluarga juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Hawk 108 yang terkorban malam semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dalam masa sama pihaknya akan memastikan siasatan dijalankan secepat mungkin bagi mengetahui punca kemalangan.
“Saya telah mengarahkan Kementah dan ATM khususnya TUDM hulur apa jua bentuk keperluan kepada keluarga kedua-dua pegawai yang terlibat.
“Pada masa sama saya dah minta bahawa Lembaga Siasatan Khas insiden ini terus siasat dengan segera punca kemalangan ini.
“Kita akan buat apa sahaja untuk membantu mereka kehadapan apa yang mereka hadapi pada masa hadapan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Semalam, dua juruterbang pesawat TUDM Hawk 108 yang dikhuatiri hilang sebelum ini, disahkan meninggal dunia.
Kedua juruterbang tersebut dikenal pasti sebagai Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang yang mengesahkan perkara itu berkata tragedi itu berlaku ekoran pesawat tersebut terlibat dalam kemalangan.
Kedua-dua mereka ditemui pada 2.30 petang tadi di kawasan berpaya di Chukai, Kemaman, kira-kira 53 kilometer dari Pangkalan TUDM Kuantan.
Dalam pada itu, Hishammuddin juga melahirkan rasa terkejut selepas beliau dimaklumkan insiden itu lewat malam semalam.
“Pukul 12 tengah malam saya menerima panggilan daripada Panglima Tentera Udara.
“Saya agak terkejut, berdukacita dan amat sedih dengan kemalangan yang melibatkan pesawat pejuang Hawk.
“Saya minta Tan Sri Pat Dan Tan Sri Panglima TUDM sendiri untuk maklumkan kepada orang ramai apa juga perkembangan terbaru berhubung kait dengan tragedi tersebut.
“Saya mewakili Kementah dan ATM melahirkan rasa sedih dan takziah kepada keluarga kedua-dua anggota kita yang terbabit dalam tragedi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette