KLEBANG – Kementerian Pertahanan Malaysia (Kementah) bangga kerana jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam mencecah 91.3 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merakamkan penghargaan kepada seluruh warga ATM Melaka yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses pengundian semalam.
“Saya nak memanjatkan rasa syukur kerana semalam sesi pengundian awal bagi PRN Melaka telah pun selesai
“Kira-kira 8,332 orang itu daripada jumlah keseluruhan pengundi awal yang membabitkan anggota ATM di Melaka telah pun keluar mengundi.
“Saya bangga kerana proses pengundian berjalan dengan lancar, pematuhan SOP, pembuangan undi yang telah ditetapkan oleh SPR berada pada tahap yang baik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melawat dan mengadakan perjumpaan bersama jentera Barisan Nasional (BN) di Bilik Gerakan BN Klebang.
Proses pengundian awal bagi PRN Melaka selesai apabila 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) ditutup di mana 21 PPA pada jam 2 petang dan 10 lagi pada 5.30 petang semalam.
Menurut SPR, kira-kira 89.9 peratus pengundi awal menunaikan tanggungjawab yang membabitkan seramai 10,390 pengundi.
PRN Melaka kali ini menyaksikan sejumlah 11,557 pengundi awal berdaftar terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.
Hishammuddin juga berharap pengundi-pengundi lain dapat menjadikan undi awal sebagai contoh dalam norma baharu, teratur dan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya berterima kasih khususnya kepada ATM kerana cukup berdisiplin dan menunjukkan contoh yang baik.
“Saya harap pada pembuangan undi nanti dalam beberapa hari akan datang kita akan melihat disiplin dan pematuhan SOP yang sama oleh pengundi-pengundi yang keluar mengundi pada tarikh pembuangan undi nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette