Datuk Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukan kira-kira RM286,000 bagi pelaksanaan projek pembangunan di tiga perkampungan Orang Asli (KOA) dalam Parlimen Tebrau bagi tahun 2020 dan 2021.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang menyenaraikan KOA berkenaan ialah Pasir Salam, Pasir Putih dan Teluk Kabong.

Antara projek itu ialah membina dan menyiapkan jalan berturap serta lain-lain kerja berkaitan di tiga KOA berkenaan pada 2020, manakala kerja baik pulih rumah di bawah Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) sepanjang tahun ini.

“Sejak 2019, kementerian ini telah menggalakkan agensi pelaksana yang terlibat dalam projek bina baharu rumah menggunakan kaedah prefab iaitu melalui Industralised Building System (IBS) dalam kerja-kerja pembinaan.

“Namun, apabila di peringkat pelaksanaan terdapat kekangan dihadapi disebabkan kekurangan pembekal IBS terutama melibatkan kawasan KOA, di mana kos pembinaan ekstrem sangat tinggi.

“Bagaimanapun, kementerian ini melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan melibatkan kesesuaian penggunaan produk berbentuk prefab/IBS dalam projek pembinaan rumah di perkampungan ini pada masa akan datang,” katanya di Parlimen hari ini.

Kata Abdul Rahman, kekangan peruntukan juga menyebabkan jumlah pembinaan rumah yang rendah dan tidak ekonomik untuk pembekal melaksanakan projek bina baru PBROA.

Bagi bekalan air di KOA Pasir Salam, beliau berkata, masih menggunakan sumber air melalui sistem alternatif daripada telaga tiub yang disediakan oleh kementerian.

Menurutnya, pada tahun 2008, Syarikat Air Johor (SAJ) telah membuat kajian dan siasatan serta mengenalpasti anggaran kos yang akan terlibat untuk kerja pembekalan air retikulasi ke KOA berkenaan yang berjumlah RM2.2 juta.

“Jarak dari jalan besar ke KOA Pasir Salam adalah lima kilometer dan melalui tanah syarikat atau persendirian yang memerlukan kebenaran izin lalu dan sedang dalam peringkat perbincangan bagi mendapatkan persetujuan semua pihak terlibat.

“JAKOA akan memastikan isu bekalan air di KOA Pasir Salam ditangani sebaiknya bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian mereka,” katanya. – MalaysiaGazette