ACEH – Seekor anak gajah Sumatera mati selepas kehilangan separuh belalainya akibat perangkap pemburu haram di Indonesia.
Anak gajah berusia setahun yang hampir pupus itu ditinggalkan oleh kumpulannya apabila terperangkap di dalam jerat.
Haiwan tersebut ditemui penduduk kampung di bandar Aceh Jaya dan dibawa ke agensi pemuliharaan untuk dirawat, lapor BBC News.
Pegawai pemuliharaan berkata, mereka cuba menyelamatkan nyawanya tetapi ia mati akibat jangkitan dua hari kemudian.
“Kami tidak dapat menyelamatkannya kerana kecederaan itu teruk dan dijangkiti.
“Kami melakukan yang terbaik untuk membantunya,” kata Agus Arianto, ketua Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Aceh.
Gajah Sumatera dikategorikan sebagai spesis terancam akibat kadar penebangan hutan yang berleluasa di Borneo dan Sumatera.
Gajah jantan amat terdedah kepada pemburu haram kerana gadingnya yang sangat berharga dan dijual di pasar gading haram.
Kematian anak gajah itu adalah insiden terbaru dalam rentetan kematian berkaitan pemburuan haram.
Pada Julai tahun lalu seekor gajah dewasa ditemui dalam keadaan terpenggal dengan gadingnya tercabut. – BBC News