KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) menyokong tindakan mencalonkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai bakal Ketua Menteri Melaka.
Mereka mempercayai pilihan yang diketengahkan oleh Perikatan Nasional (PN) akan menjadi game changer dalam arena politik tanah air.
Pengasas dan Presiden COMWEL, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia julung kali seorang wanita diangkat sebagai calon Ketua Menteri dan pengumuman tersebut pasti disambut baik oleh rakyat semasa membuang undi pada Sabtu ini.
“COMWEL mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman Ahli Parlimen Masjid Tanah yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bidara, Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka.
“Mas Ermieyati mempunyai track record yang baik iaitu dua penggal sebagai ahli Parlimen dan mempunyai pengetahuan yang tinggi selain daripada menyandang jawatan dalam kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berharap lebih wanita akan diberi peluang untuk menjadi calon pada setiap pilihan raya sebagai pilihan alternatif untuk rakyat.
Terdahulu, PN mengumumkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan parti berkenaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu ini.
Muhyiddin berkata, ia merupakan pertama kali dalam sejarah negara sesebuah parti mengangkat wanita sebagai seorang Ketua Menteri.
“Ini adalah saya kira pertama kali dalam sejarah negara seorang wanita yang berkelayakan tinggi, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette