KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kematian Ketua Penolong Pengarah Kanan Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Chai Koh Meow semalam, sehingga keputusan bedah siasat rasmi diperoleh.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Dr Chai telah melengkapkan dos penggalak vaksin COVID-19 pada 9 Nov lepas dan tidak melaporkan sebarang kesan sampingan luar biasa setelah mendapat vaksinasi tersebut.
Beliau berkata mendiang juga hadir bekerja dan bertugas seperti biasa sehingga 16 Nov lepas.
Dr Noor Hisham memaklumkan siasatan mengenai punca kematian mendiang masih berjalan dan KKM memohon orang ramai menghormati privasi keluarga mendiang.
“Salam takziah diucapkan buat seluruh ahli keluarga mendiang Dr Chai Koh Meow atas pemergian beliau pada 17 Nov,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Dr Noor Hisham turut menyifatkan mendiang sebagai seorang yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, masyarakat setempat dan komuniti perubatan tradisional dan komplementari.
“Pihak KKM berdukacita dengan pemergian seorang pegawai kami yang komited dan berdedikasi dalam tugasan beliau,” katanya.- BERNAMA