Calon Gadek N07, VP Shanmugam yang juga calon tunggal MIC dalam PRN Melaka.

MELAKA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diminta untuk tidak mengejar publisiti menggunakan media sosial sebaliknya menulis berdasarkan fakta terlebih dahulu.

Teguran itu yang dilakukan oleh calon N07 Gadek (BN), VP Shanmugam juga memberi peringatan kepada Syed Saddiq supaya tidak teruja berkongsi apa sahaja bahan sensasi semata-mata mendapatkan tanda suka.

Ini kerana Syed Saddiq berkongsi sebuah video seorang lelaki tua memarahi sekumpulan ahli MIC yang berkempen dari rumah ke rumah di Melaka.

Dakwa Shanmugam, lelaki dalam video itu adalah ayah mertua kepada calon yang juga penyandang calon DUN Gadek mewakili Pakatan Harapan (PH), G. Saminathan.

“Tahukah kamu tentang fakta itu wahai Syed Saddiq? Saya sebenarnya tidak ada masa langsung untuk keluarkan kenyataan seperti ini untuk anda kerana fokus saya lebih kepada rakyat.

“Tetapi ada sesuatu yang hendak saya ingatkan kamu dan pimpinan lain yang mungkin sudah lupa atau berpura-pura lupa, ketika Saminathan ditahan siapa antara yang lantang mengatakan penahanan itu tidak sah?

“Walaupun Saminathan itu dari parti yang lain tetapi MIC juga tampil membantu, MIC yang juga bersuara, MIC juga beri bantuan guaman secara percuma kepada sebilangan tahanan yang tidak mampu membayar kos guaman. Adakah kamu ingat atau pura-pura tidak ingat?

“Pastinya MIC akan tolong Saminathan jika beliau juga tidak diwakili sebarang peguam. Ironi yang menahan beliau adalah kerajaan anda iaitu PH malah ketika itu adalah seorang menteri yang sudah tentunya mampu bersuara, di mana pula anda ketika itu?

“Tepuk dada tanya seleralah, janganlah memandai cakap dengan hanya duduk depan komputer, jangan racuni fikiran rakyat. Jangan lupa, kerajaan anda yang berjanji bulan bintang sebelum menang akhirnya mendakwa manifesto itu bukan kitab suci,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

 

Tangkap layar hantaran Syed Saddiq di media sosial.

Kata Shanmugam, beliau bukanlah calon ‘payung terjun’ yang tidak kenal siapa pengundi mahu pun isu-isu yang mereka hadapi.

“Untuk makluman anda, saya  turun padang masa bukan masa PRN ini sahaja sebaliknya sejak dua tahun dulu lagi, jika anda sibuk di laman sosial cari publisiti untuk diri sendiri dan bukan peduli warga DUN Gadek.

“Sebagai penyelaras DUN Gadek selama dua tahun, saya telah turun all out dan seandainya diberi peluang, pasti masalah-masalah yang menghantui penduduk setempat akan cuba saya selesaikan,” tegasnya.

Shanmugam akan berdepan dengan enam penjuru dengan antara pesaingnya, penyandang Saminathan (DAP PH), Mohd Amir Fitri Muharam (Bersatu PN), Laila Norinda Maon (Putra), Azafen Amin (Bebas) dan Mohan Singh (Bebas).

Untuk makluman, Shanmugam yang merupakan seorang usahawan dan ahli perniagaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari North Borneo University College juga pernah memenangi Anugerah Tokoh Belia Negara.

Pada PRN kali ini, BN telah menampilkan 28 calon sekali gus bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.

BN juga menggunakan tema Kestabilan Demi Kemakmuran pada PRN Melaka bagi menarik sokongan pengundi kerana kestabilan amat penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast