KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merayu pengundi di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka memberi undi kepada calon Parti Bumiputera Perkasa (Putra) untuk memudahkan berlaku semak dan imbang dalam kerajaan negeri yang bakal dibentuk selepas 20 November ini.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berharap, pengundi Melayu di negeri itu tidak tersalah memilih calon dari Pakatan Harapan (PH) kerana perjuangan parti tersebut yang didominasi oleh DAP yang bertentangan dengan matlamat Perkasa.
“Pilihlah calon Putra yang menggunakan lambang tanjak tanpa ragu-ragu. Perkasa antara NGO Melayu yang akan menjadi penentang utama kepada Putra jika parti ini terpesong dari perjuangan sebenar mereka dan cakap tidak serupa bikin.
“Pimpinan Perkasa mengenali rapat pimpinan Putra dan mempercayai mereka akan merubah landskap politik negara yang lebih positif dan memberi jaminan memelihara kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera serta kaum lain tanpa kompromi.
“Kita yakin jika Putra menang beberapa kerusi DUN, ia akan menjadi penentu pembentukan kerajaan baharu Melaka. Ketika itu, Perkasa percaya Putra akan buktikan betapa kepimpinan parti itu kekal tidak beretorik dan tidak hipokrit sama sekali. Apa yang Putra kata, itu yang akan dikotakan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Lima calon Putra bertanding di DUN Duyung, Pengkalan Batu, Sungai Rambai, Gadek dan Paya Rumput.
Syed Hassan berkata, tindakan memilih Putra di lima kawasan itu adalah untuk menunjukkan kuasa sebenar adalah rakyat yang berani menolak parti yang pemimpinnya lebih pentingkan diri sendiri, keluarga dan kroni berbanding perjuangkan hak rakyat.
Menurut beliau, Putra merupakan parti baharu yang dilulus pada 2019 dan tidak bergabung dengan mana-mana pakatan kerana mahu lebih bebas serta berani menyuarakan kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.
“Kita telah memerhatikan Putra sejak ditubuhkan, adalah satu-satunya parti yang sentiasa bersuara dengan tegas terhadap isu membabitkan kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera serta negara berbanding parti lain,” ujarnya.
Beliau secara peribadi menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak sepatutnya diadakan jika semua pihak menghormati pilihan rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.
Bagaimanapun, tegas beliau, kerajaan Melaka pilihan rakyat ketika itu telah dijatuhkan oleh empat ADUNnya sendiri, bukan oleh rakyat Melaka.
“Atas sebab ketamakan kepentingan peribadi masing-masing, rakyat Melaka menjadi mangsa. Segala urusan membangunkan negeri dan membantu rakyat terbantut,” katanya. – MalaysiaGazette