Kerja menaiktaraf landasan Halogilat - Tenom dijangka selesai awal tahun depan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan memberi fokus menyiapkan dua projek berkeutamaan tinggi bagi menaiktaraf infrastruktur untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan kereta api Sabah.

Dua projek itu ialah penaiktarafan landasan Halogilat – Tenom dan perolehan tiga  set Diesel Multiple Unit (DMU) serta enam unit Non-Powered Car, yang dijangka selesai awal tahun depan.

Menurut Timbalan Menteri, Datuk Henry Sum Agong, pelaksanaan projek itu bukan sahaja memberikan keselesaan kepada penumpang, malah pelbagai kesan pertumbuhan ekonomi di kawasan persekitaran jajaran keretapi.

Kata beliau, kerja tambahan menaiktaraf di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat (KM111) ke Stesen Tenom (KM137.9) bagi Jabatan Keretapi Negeri Sabah telah diluluskan dalam RMK-11 dengan kos RM49.6 juta.

“Prestasi kemajuan fizikal projek ini telah mencapai 99.5 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

“Projek ini telah diperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi tahun 2022 untuk perakuan akaun dan bayaran muktamad,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette