zambry Naib Presiden
Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan berusaha sehingga ke garisan penamat jam 11.59 malam ini untuk meyakinkan pengundi memilih semula parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, atas tema “Kestabilan Demi Kemakmuran”, BN meletakkan asas kestabilan politik dan sosial sebagai pra-syarat kepada kemakmuran negara, termasuk Melaka.

“Hari ini adalah hari terakhir bagi semua parti yang bertanding di PRN Melaka meningkatkan usaha dan ikhtiar meyakinkan pengundi untuk mengundi parti mereka.

“Justeru, jentera BN akan berusaha sehingga ke garisan penamat bagi meyakinkan para pengundi agar memilih kembali parti ini.

“Kita telah melakar sejarah kestabilan dan kemakmuran yang panjang di bawah BN selama lebih 60 tahun,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Dr. Zambry, meskipun ada babak kecil yang cuba menggugat kestabilan, jentera BN berjaya mengembalikan keamanan negara tercinta ini.

Namun, katanya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), kestabilan negara tergugat sehingga kini dengan iklim ekonomi dan pelaburan turut terjejas sehingga Malaysia tidak lagi dipandang sebagai model keharmonian.

Kata beliau, politik fitnah dan benci menguasai naratif pentas politik negara dengan sikap bermusuhan berkembang bagaikan barah yang merebak ke seluruh anggota.

Justeru, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu, BN mengemukakan tema yang asas iaitu kestabilan untuk kembali menggarap masa depan bersama.

“Pendekatan sederhana BN selama ini untuk hidup secara harmoni dalam masyarakat majmuk dan berbeza wilayah adalah model kehidupan bernegara dalam Malaysia yang tercinta.

“Sepanjang laluan sejarah sebagai pembina negara, BN tentunya ada kekurangan dan kekurangan. Namun tidak dapat dinafikan kekuatan dan kelebihan yang dilaksanakan.

“BN pasti akan perbaiki segala kekurangan dan kelemahannya,” katanya.

BN memulakan langkah pembaharuan menampilkan calon muka baru 86 peratus dengan hanya empat calon lama dikekalkan pada PRN Melaka.

Katanya, ramai calon anak muda dan wanita diketengahkan berlatar belakang pendidikan yang baik dan profesional, suatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Melaka adalah negeri yang maju sepanjang tempoh pentadbiran BN. Ia menjadi negeri contoh dalam bidang pelancongan dan industri. Rakyatnya yang pelbagai latarbelakang agama dan etnik, hidup dalam harmoni dan saling memahami.

“Ini kerana pendekatan BN adalah pendekatan “Dacing” yang seimbang dan disusuri dengan semak dan imbang atas ruang demokrasi yang disediakan.

“Semoga kestabilan yang berpanjangan dapat diwujudkan dengan memberikan dokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang selesa,” katanya. – MalaysiaGazette