KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terlentang di tebing sungai berhampiran tanah perkuburan lama Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan susulan penemuan mayat itu pada jam 4.27 petang tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang Roosli Abu Hassan berkata, sebaik tiba di lokasi tersebut, polis memohon bantuan mengambil mayat di tebing sungai pada ketinggian sembilan meter dari MRR2.
Mayat lelaki itu dipercayai dalam lingkungan 40-an tetapi identitinya tidak dapat dikenalpasti.
“Kami telah menyerahkan kes ini dan mayat berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi telah ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.02 petang tadi,” katanya. -MalaysiaGazette