Calon Barisan Nasional N.21 Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem bercakap sesuatu dengan pengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendakwa terdapat gerakan yang dipandu sesetengah individu giat menjalakan aktiviti menggalakkan pengundi untuk tidak turun mengundi.

Noor Helmy berkata, perkara itu nyata menjejaskan peluang dirinya dan semua calon di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menang selesa.

“Pengundi banyak ikut waktu undi yang diberikan SPR, kita tidak nafikan juga ramai yang tidak mahu keluar mengundi sebab ada satu gerakan yang dibuat oleh individu tertentu yang tidak menggalakkan orang keluar mengundi.

“Ini merupakan cabaran kepada calon,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, Noor Helmy berkata, aktiviti seperti ini harus dipantau SPR kerana ia akan mengurangkan jumlah undi yang diterima semua calon sekali gus menjejaskan peluang semua calon sebenarnya.

“Sedangkan kita nak tahu mandat rakyat tapi kalau yang turun mengundi hanya 40 peratus ini bukan cerita tentang mandat rakyat lagi.

“Kita kalau boleh nak mandat itu secara total, 80 peratus kehendak kawasan itu siapa yang mereka nak pilih. Kalau yang tidak turun lebih banyak daripada mengundi, saya rasa ia akan beri justifikasi yang tidak bagus kepada kepimpinan itu,’ katanya lagi.

Bagaimanapun, setakat jam 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi di PRN Melaka kali ini adalah pada 61 peratus.

Pengundian bermula hari ini dengan semua 217 pusat pengundian dibuka sejak 8 pagi tadi.

Ia membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, akan dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

PRN kali ini menyaksikan seramai 112 calon bertanding yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman) dan bebas.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast