AYER KEROH – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menubuhkan sebuah sekretariat bagi memantau prestasi wakil rakyatnya yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi memastikan pemimpin muda yang pertama kali diangkat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menunaikan janji kepada rakyat.
“Insya-Allah Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menubuhkan sekretariat untuk memantau pretasi mereka dan dari semasa ke semasa kita akan pastikan apa yang dijanjikan kepada rakyat akan dikotakan.
“Yang paling penting mereka tidak boleh tinggal rakyat kerana rakyat telah beri kepercayaan dan ini sebagai satu pembalasan kepada jasa dan budi rakyat bersandarkan amanah dengan sebaik mungkin.
“Mudah-mudahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN boleh mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat,” katanya kepada pemberita di Pusat Arahan Barisan Nasional (BN) di Seri Chendana Ballroom & Cafe, di sini, hari ini.
Asyraf juga berkata, rakyat Malaysia mendambakan model kesederhanan yang ditampilkan BN dalam pentadbiran sejak zaman merdeka lagi.
“Melaka telah membuktikan bahawa kita mampu mengetengahkan calon daripada MCA dan MIC walaupun kawasan majoriti bukan Melayu tidak besar.
“Model kestabilan yang dibawa oleh BN adalah yang terbaik, boleh membawa kemakmuran kepada rakyat keseluruhannya.
“Dinamikan inilah yang seharusnya kita kembalikan supaya akhirnya yang mendapat dividen dan manfaatnya adalah rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette