KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar negeri Melaka, baru-baru ini.
Inisiatif ini digerakkan oleh Pusat Kolaborasi Industri & Masyarakat, Pejabat Penolong Naib Canselor ( Jaringan Industri dan Masyarakat), UTeM.
Pengarah Pusat Kolaborasi Industri & Masyarakat, Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UTeM, Prof Madya Dr Effendi Mohamad berkata, sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir sekitar Melaka.
Jelasnya, inisiatif ini turut memupuk semangat bantu-membantu sesama komuniti warga UTeM, institusi kerajaan dan masyarakat sekaligus merealisasikan tanggungjawab sosial warga UTeM kepada masyarakat setempat selari dengan slogan ‘UTeM is Melaka; Melaka is UTeM’.
Ujarnya, sumbangan disampaikan kepada mangsa banjir yang terdiri daripada 71 pelajar dan 50 keluarga kakitangan UTeM serta 22 keluarga warga komuniti sekitar Melaka.
“Sumbangan adalah dalam bentuk barangan makanan dan keperluan asas seperti makanan kering, air minuman, alatan keperluan peribadi seperti sabun mandi, sabun basuh, syampu, tuala wanita, berus gigi dan ubat gigi serta cecair pembasmi kuman, baldi, mop, lampin pakai buang dan sebagainya.
“Pihak kami ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UTeM dan pihak yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan program menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette