ISKANDAR PUTERI – Kira-kira 500,000 rakyat Johor akan menerima dos penggalak di mana pemberian itu sedang giat dilaksanakan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, jumlah berkenaan termasuk petugas barisan hadapan, warga emas dan golongan komorbid yang berada di negeri ini.
Daripada jumlah itu, seramai 77,010 penduduk Johor telah menerima dos penggalak sehingga Jumaat lalu.
“Setakat Jumaat lalu, seramai 77,010 penduduk Johor telah menerima dos penggalak membabitkan 27,089 barisan hadapan, 38,111 warga emas, 5,583 golongan komorbid dan 6,227 lagi golongan 40 tahun ke atas dan lain-lain.
“Sehingga kini, golongan remaja dan pelajar sekolah belum disyorkan lagi untuk menerima dos penggalak, namun kerajaan Johor amat menggalakkan penerimaan dos penggalak dan mahu ia diperluaskan.
“Ketika ini, dos penggalak ini diutamakan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun ke atas, individu berusia 40 tahun ke atas dan golongan komorbid berusia 18 tahun ke atas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di sini hari ini.
Kerajaan Johor, kata Vidyanathan menyasarkan pemberian dos penggalak kepada rakyat di negeri itu yang layak dan berharap dapat diselesaikan pada awal tahun depan sebelum diperluaskan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang berkata, dos penggalak akan diperluaskan kepada semua penduduk Johor apabila melepasi tempoh yang disyorkan selepas menerima vaksin dos lengkap.
“Buat masa ini, pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Cominarty sekurang-kurangnya enam bulan dari dos kedua dan penerima vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan dari dos kedua,” katanya.
Katanya, mereka yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera.
Selain menerusi pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.-MalaysiaGazette