LONDON – David de Gea meluahkan rasa kesal dengan aksi Manchester United ketika kalah 4-1 kepada Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris malam tadi yang disifatkan sebagai amat memalukan, lapor BBC.
Kekalahan itu menyebabkan kedudukan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus semakin terancam namun De Gea mahu semua pemain mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk di Vicarage Road.
“Tidak banyak yang boleh diperkatakan, ia amat memalukan melihat cara Manchester United bermain hari ini,” kata De Gea.
Penjaga gol United itu dibolosi empat kali manakala kapten mereka, Harry Maguire dibuang padang untuk memberi kekalahan kelima buat Red Devils dalam tujuh aksi terakhir.
United juga bernasib baik tidak kalah lebih teruk selepas De Gea menyelamatkan sepakan penalti Ismaila Sarr.
Watford yang dibimbing Claudio Ranieri menunjukkan kesungguhan untuk bangkit daripada empat kekalahan dalam lima aksi terakhir liga dengan bermain agresif sejak awal permainan.
Tuan rumah menguasai babak pertama untuk mendahului 2-0 menerusi jaringan Joshua King dan Sarr.
United cuba mengejar dan jaringan pemain gantian, Donny van de Beek pada minit ke-50 memberi harapan kepada mereka untuk bangkit.
Malangnya, layangan kad merah kepada Maguire, 20 minit sebelum tamat permainan merentap usaha Red Devils untuk mencari gol penyamaan.
Joao Pedro memadam harapan United dengan meledak gol ketiga Watford pada minit ke-92, sebelum Emmanuel Dennis menambah derita Red Devils dengan gol keempat, empat minit kemudian. – Agensi