Presiden Amanah, Mohamad Sabu

AYER KEROH – Gabungan Pakatan Harapan (PH) tidak mengangkat bendara putih dengan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Presiden parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, pihaknya menerima keputusan yang dibuat para pengundi Melaka dengan hati terbuka.

“Terima kasih kepada pengundi yang memberikan undi dan kepada seluruh petugas yang bertugas dengan penuh komited tanpa takut dengan cabaran yang datang terutama ancaman Covid 19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PH semalam hanya memperoleh lima kerusi dengan empat daripadanya datang daripada DAP iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, DUN Kota Laksamana, DUN Bandar Hilir dan DUN Ayer Keroh.

Amanah hanya memenangi satu kerusi iaitu kerusi DUN Bukit Katil dan hilang kerusi DUN Durian Tunggal.

Lebih mengejutkan, PKR yang bertanding 11 kerusi iaitu DUN Lendu, DUN Machap Jaya, DUN Rembia, DUN Kelebang, DUN Paya Rumput, DUN Asahan, DUN Rim, DUN Tanjung Bidara, DUN Sungai Udang, DUN Ayer Molek dan DUN Sungai Rambai kalah semua kerusi.

Pada PRU-14 lalu, PKR menang tiga kerusi iaitu DUN Machap Jaya, DUN Rembia dan DUN Kelebang,

Justeri itu, Mohamad Sabu berkata, gabungan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Kita tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette