BUKIT MERTAJAM – Pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di Pulau Pinang kurang mendapat sambutan susulan rata-rata rakyat di negeri itu dikatakan menolak penerimaan vaksin campuran.
Selain itu, kesukaran ke lokasi fasiliti turut menjadi faktor kadar penerimaan dos penggalak dalam kalangan rakyat negeri itu tidak mendapat sambutan.
Exco Agro-tech dan Keselamatan Makanan, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, kira-kira 40 peratus penerima dos penggalak tidak hadir mengikut temu janji menerusi MySejahtera sekali gus menyebabkan Pulau Pinang direkodkan antara lima negeri terendah.
Katanya, antara faktor yang dikenal pasti pemberian dos penggalak tidak mendapat sambutan termasuk kesukaran mendapat parkir di lokasi fasiliti selain warga emas perlu berjalan jauh.
“Bagaimanapun, keraguan penerima untuk mendapatkan dos penggalak campuran antara alasan utama. Cukup sekadar dua suntikan vaksin, mak cik tak pergi mana jadi tak perlu dos penggalak turut menjadi alasan penerima.
“Selain itu, kita juga berdepan dengan situasi penerima enggan menjawab panggilan janji temu hospital dan klinik bagi mendapatkan suntikan mereka,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Tabung Bantuan Pelajar Covid-19 di Icon City di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Lions Club Bayan Baru, Leena Lee.
Pada majlis itu, seramai 111 pelajar yang kehilangan ibu atau bapa akibat Covid-19 menerima sumbangan wang tunai hasil kutipan dana Lions Club Bayan Baru.
Setiap pelajar menerima sumbangan berjumlah RM1,000 bagi meringgan beban keluarga berkenaan mengharungi kehidupan selepas pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut Norlela berkata, sebanyak 74 buah klinik dan lapan hospital swasta telah dijadikan pusat pemberian suntikan dos penggalak tambahan daripada 47 buah fasiliti sedia ada di negeri ini.
“Untuk bahagian pulau, ada tambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak di Sunshine Square yang boleh memberi pelalian dengan kapasiti 1,500 dos sehari.
“Sehubungan itu, saya harap warga Pulau Pinang yang layak khususnya golongan komorbit dan warga emas mengambil suntikan dos penggalak untuk perlindungan tambahan daripada jangkitan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette