IPOH – Kenaikan harga makanan untuk ayam dan pelbagai faktor lain telah menyebabkan kos di ladang meningkat dan sesetengah peruncit telah menaikkan harga telur sebanyak tiga sen sejak bulan lalu.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Tan Chee Hee berkata, harga telur mula meningkat sejak akhir Oktober disebabkan permintaan yang tinggi, kekurangan pekerja dan juga kos yang meningkat.
Katanya, harga makanan untuk ayam yang tinggi diramalkan akan berterusan sehingga Mac tahun depan, sekali gus mendorong kenaikan harga telur.
“Bukan sahaja kos makanan, tetapi kos penyelenggaraan dan operasi termasuk harga untuk bahan mentah seperti kepingan zink dan kayu juga mengalami kenaikan.
“Walaupun harga telur telah naik, tetapi keuntungan masih sukar untuk dicapai buat penternak,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Tambahnya, penawaran telur telah berkurangan kerana ladang-ladang ternakan berdepan masalah kekurangan pekerja.
“Hasil ternakan dan telur perlu dituai dengan segera untuk menjamin kualiti.
“Ladang ternakan di Malaysia tidaklah sampai menggunakan jentera secara sepenuhnya, tetapi kami menggunakan pendekatan separuh automasi atau cara tradisional yang bergantung kepada tenaga manusia,” katanya.
Menurutnya, harga telur dijangka terus mengalami peningkatan secara sedikit sehingga keadaanya seimbang dan penternak boleh mendapat keuntungan.
“Tanpa keuntungan, peladang hanya akan menamatkan operasi penternakan,” katanya.
Menurutnya, kenaikan harga dijangka tidak akan menghasilkan impak yang besar terhadap jualan kerana telur masih merupakan makanan harian buat ramai orang di Malaysia. – MalaysiaGazette