Ahli Majlis Pasir Gudang (Zon Rinting 2) Azizi bersama penduduk menunjukkan sisa buangan tercemar di Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang.

PASIR GUDANG – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah mengambil sampel sisa buangan yang dipercayai menyebabkan pencemaran Sungai Masai di Kampung Pasir Gudang Baru, di sini.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, sampel itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut kerana sisa buangan itu bukannya bahan yang sering ditemui dalam insiden pencemaran.

“Pada siasatan awal, kita dapati ada beberapa kemungkinan, minyak pun ada kemungkinan dan mungkin bahan-bahan lain. Kita juga terima makluman yang kejadian bukan kerap berlaku dan ini adalah pertama kali.

“Jadi kita perlukan siasatan dan maklumat lebih terperinci. Kerana macam apa kita lihat bahan ini adalah beza daripada kejadian pencemaran lalu, ia lebih kepada serbuk dan berdebu,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, di sini, hari ini.

Mohd Famey berkata, pihaknya akan meminta kerjasama Jabatan Kimia untuk mempercepatkan siasatan berhubung kandungan sisa buangan itu bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan segera.

“Kita akan minta kerjasama Jabatan Kimia untuk analisa kandungan sisa ini, dan bila kita dapat kita akan cuba buat pengesan cap jari (finger printing) untuk tengok mana kemungkinan premis yang boleh hasilkan bahan ini.

“Sebab ini juga adalah kejadian pertama kali, kita memang akan minta kerjasama daripada penduduk setempat terutama nelayan sebab mereka lebih kenal kawasan ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian pencemaran di Sungai Masai mempunyai kaitan dengan kejadian yang berlaku di Sungai Kong Kong Laut, di sini.

Menurut Dr Mohd Famey, pihaknya juga merima laporan perkara sama berlaku di Sungai Kong Kong Laut berdasarkan daripada bahan yang digunakan sifatnya agak sama iaitu berdebu. -MalaysiaGazette