SPRM Azam Baki
Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat bagi dicadangkan pertuduhan terhadap syarikat berkenaan.

Beliau berkata, siasatan terhadap syarikat lain masih diteruskan dan SPRM bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menubuhkan pasukan khas bagi meneliti tuntutan lain.

“SPRM telah merampas semua laporan yang dikemukakan syarikat-syarikat berkenaan dari 2018 hingga 2020,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen kesedaran pencegahan rasuah di pengangkutan awam berteraskan usaha sama antara SPRM dengan MRT Corp di Stesen MRT Muzium Negara, di Kuala Lumpur hari ini.

Azam berkata, SPRM menjalankan siasatan terhadap dua perkara iaitu unsur jenayah dan penambahbaikan prosedur serta sistem pemberian geran.

Beliau turut mengakui terdapat kelompangan dalam sistem dan prosedur yang diamalkan kerajaan menerusi pemberian geran.

“Ini satu perkara yang SPRM perlu lihat dan kita sedang berbincang dengan kementerian berkenaan supaya ia tidak berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan oleh penerima geran peruntukan MITRA sejak 2019 hingga 2021.

Ini susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan MITRA.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh MITRA sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta. – MalaysiaGazette