Seorang lelaki cedera manakala tiga rakannya terselamat selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang akibat tanah runtuh di Tanah Rata, Cameron Highlands hari ini.

IPOH – Seorang lelaki cedera manakala tiga rakannya terselamat selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang akibat tanah runtuh di Tanah Rata, Cameron Highlands hari ini.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Shahrul Nizam Nasir berkata kejadian pada petang tadi itu menyebabkan lelaki yang merupakan penumpang kenderaan itu mengalami pendarahan hidung.

“Lelaki yang cedera itu dan seorang rakannya dikeluarkan daripada kenderaan terbabit oleh pihak bomba manakala dua lagi lelaki lain dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Shahrul Nizam berkata hujan lebat yang berlarutan hampir dua jam di pusat peranginan tanah tinggi itu menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan pokok tumbang di beberapa kawasan di sekitar Tanah Rata dan Ringlet.

Beliau berkata kawasan terjejas di Rata Tanah melibatkan Big Red Strawberry, Strawberry Park, laluan Ladang Teh Boh Sungai Palas serta laluan ke Water Cress Valley dan Rose Valley.

“Kejadian menyebabkan laluan kenderaan terhalang namun tidak melibatkan nyawa dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata kawasan terjejas di Ringlet pula melibatkan Taman MCA, Taman Pelangi serta Batu 20, Jalan Tapah dan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sedang dijalankan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast