Ronald Kiandee (kanan) menunjukkan buku Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030 yang dilancarkan di Labuan hari ini.

LABUAN – Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi 2021-2030 dengan enam teras utama – meningkatkan industri perikanan tuna negara dilancarkan di pulau bebas cukai ini di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pelan itu adalah kesinambungan kepada pelan strategik seumpamanya dilancarkan 19 tahun lepas sejak 2002 dan kini ia menumpukan kepada peningkatan pendaratan tuna dari tiga lautan berkenaan.

Beliau berkata, pelan strategik itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan memenuhi pembangunan industri perikanan laut dalam dan selaras dengan hasrat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan pada Oktober lepas.

“Pelan strategik ini menyasarkan ‘outcome’ kompetitif bagi memastikan pembangunan industri tuna negara dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif melalui pertambahan vesel atau kapal laut dalam dan tuna yang beroperasi di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia dan laut lepas serta peningkatan pendaratan tuna di Malaysia kepada 150,000 tan metrik,” katanya ketika melancarkan pelan strategik itu.

Beliau berkata,  sasaran lain adalah pembangunan vesel moden perikanan laut dalam dan tuna secara bersepadu, pematuhan resolusi domestik dan antarabangsa kepada sekurang-kurangnya 85 peratus, dan peningkatan pasaran produk berasaskan tuna bernilai tinggi di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pelan strategik ini juga membantu memangkin pembangunan industri tuna melalui pelaburan swasta, membangunkan industri perikanan tuna secara mapan dan memenuhi piawaian antarabangsa, membangunkan modal insan dalam perikanan tangkapan dan pemprosesan tuna serta memantapkan sistem pengembangan dan pembangunan teknologi,” katanya.

Ronald berkata, meskipun Sabah dan Labuan terletak di sebelah Malaysia Barat, hasil tangkapan tuna di Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diberikan perhatian, diurus dan dieksploitasi dengan baik bagi meningkatkan pendaratan tuna dan hasil ekonomi nelayan tempatan.

Enam teras utama dalam pelan strategik ini adalah Teras 1: Pematuhan Instrumentasi Domestik Dan Antarabangsa Perikanan Laut Dalam dan Tuna; Teras 2: Pembangunan Spesifikasi Vesel dan Peralatan serta Penetapan Kuota Tuna manakala Teras 3: Pembangunan dan Peningkatan Teknologi Perikanan Tuna.

Teras keempat pula mengenai Pembangunan Sistem Pengurusan, Kawalan, dan Profil Industri Perikanan Tuna; Teras 5: Peningkatan Kapasiti Pengawalseliaan Perikanan Tuna; dan Teras 6: Peningkatan Kualiti Pasca Tuai dan Nilai Tambah Perikanan Tuna.

Selain DAN 2.0, galakan penerokaan perikanan laut dalam menerusi pemodenan vesel merupakan antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh kementerian melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2030 (Pelan DSMN) untuk memastikan jaminan bekalan makanan sumber protein yang berterusan.

Bagi tujuan ini katanya, kerajaan telah memperuntukkan dana RM150 juta untuk pembiayaan pemodenan vesel dan mekanisasi tangkapan dengan agihan RM100 juta untuk Zon A dan B, manakala RM50 juta untuk perluasan skop Zon C dan C2.

“Sehingga kini, terdapat 265 permohonan dengan nilai pembiayaan RM108 juta telah diperakui di peringkat DOF dan daripada jumlah tersebut, RM92 juta adalah untuk pembiayaan program pemodenan manakala RM16 juta lagi untuk pembiayaan program mekanisasi,” katanya.

Ronald berkata, kerajaan Persekutuan telah memberi komitmen dan memperuntukkan sebanyak RM14 juta kepada DOF untuk menjalankan Projek Pembangunan Perikanan Komersial Laut Dalam dan Tuna bagi meningkatkan usaha pendaratan dan penglibatan pemain industri serta nilai tambah perikanan laut dalam dan tuna di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Dengan inisiatif ini, pengurusan dan kawalan perikanan komersial dapat dipertingkatkan menerusi platform digital, peningkatan kepada pematuhan antarabangsa, peningkatan fasiliti pendaratan dan pengendalian hasil perikanan serta peningkatan produk perikanan laut dalam dan tuna,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast