Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid meluangkan masa melihat ruang dalaman simulasi penerbangan semasa mengadakan lawatan kerja ke UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology di Jalan Lapangan Terbang Subang, Subang. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

SUBANG – Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) kini dilengkapi dengan sebuah Pusat Simulasi Penerbangan bagi Program Latihan Penarafan untuk pesawat Boeing 737-800 bernilai RM2.9 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pusat simulasi terletak di Kampus Subang itu dilengkapi peralatan avionik dan instrumen dengan piawaian pesawat sebenar.

“Simulator B737-800 ini akan diguna pakai untuk latihan kejuruteraan baik pulih pesawat di mana mahasiswa akan dilatih dan didedahkan kepada pelbagai sistem kejuruteraan pesawat melalui proses pengujian sistem avionik dan instrumen.

“Dengan adanya simulasi penerbangan ini, pelajar akan didedahkan dengan kejuruteraan teknologi simulasi penyelenggaraan dan penerbangan terkini selain diajar asas penerbangan dan seterusnya dapat menerbangkan pesawat dengan baik,” katanya selepas merasmikan Pusat Simulasi Penerbangan dan Majlis Pelancaran Siri Bicara Menteri di UniKL MIAT Kampus Subang hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology di Jalan Lapangan Terbang Subang, Subang. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2021.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun; Pengerusi UniKL, Prof. Emiritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani dan Pengarah Eksekutif Mara Corporation Sdn. Bhd., Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pusat simulasi berkenaan mendapat pengiktirafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah untuk tujuan latihan kejuruteraan penyelenggaraan pesawat.

“Simulator di UniKL MIAT ini juga merupakan satu-satunya simulator B737-800 yang beroperasi di negara ini selain yang terdapat di Malaysia Airlines.

“Perolehan Simulator 737-800 ini adalah sebahagian daripada inisiatif UniKL MIAT di bawah projek Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11) bertujuan untuk melatih lebih ramai jurutera, mekanik dan juruteknik yang berkelayakan dalam bidang penyelenggaraan pesawat bertauliah.

“Tempoh masa latihan bagi pelajar juga dapat dipendekkan sebanyak 30 peratus dari tempoh asal yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 150 pemimpin mahasiswa dari keseluruhan 12 kampus UniKL menyertai Siri Bicara Menteri yang diadakan buat julung kali oleh Bahagian Gaya Hidup Kampus UniKL yang membolehkan mereka berinteraksi secara langsung bersama pemimpin negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast