Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique.

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique masih belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Setakat ini, saya tidak dipanggil. Apa pun, saya dan kementerian akan terus beri kerjasama yang baik untuk SPRM teruskan siasatan termasuk untuk melihat 337 lagi program yang akan dibawa dalam siasatan.

“Siasatan dalaman ini akan dibuat selepas selesai siasatan dan dapatan oleh SPRM.

“Ia berkaitan dengan penyalahgunaan dan cadangan terhadap prosedur yang boleh dilakukan oleh kementerian kepada penyaluran dana MITRA pada tahun akan datang,” katanya menjawab perbahasan peringkat jawatankuasa bagi bajet kementerian itu di Parlimen hari ini.

Menurut Halimah, kertas siasatan SPRM bagi lebih 300 program itu telah dikemukakan kepada Peguam Negara untuk penelitian dan keputusan sama ada terdapat apa-apa keterangan sama ada kesalahan di bawah Akta SPRM atau mana-mana undang-undang.

Katanya, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap dua perkara iaitu melibatkan unsur jenayah dan penambahbaikan kepada prosedur serta sistem pemberian geran yang akan dicadangkan. – MalaysiaGazette