KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaksanakan tiga mekanisme bertujuan untuk meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan produk makanan halal di semua rantaian.

Tiga mekanisme berkenaan dikuat kuasa susulan isu kartel daging import yang menggemparkan negara pada Disember tahun lalu.

Mekanisme tersebut adalah mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang untuk mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.

Selain itu, produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai SPHM di bawah skim logistik kategori pengangkutan.

“Manakala mekanisme terakhir ialah mewujudkan prosedur mandatori pembungkusan semula (repacking) yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan,” kata Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Halal Kebangsaan (Sidang Halal) 2021 yang diadakan menerusi dalam talian, hari ini.

Tegas beliau, kesemua inisiatif ini penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin selepas negara digemparkan dengan pembongkaran kartel daging import pada tahun lalu.

Dalam majlis itu beliau turut melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

Ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara.

Manakala Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020, berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman pensijilan halal Malaysia. – MalaysiaGazette