KUALA LUMPUR – Tidak ada orang lain yang ada kepimpinan diperlukan untuk mengetuai PKR dan Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRU-15 selain Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kesimpulannya, dalam keadaan PKR dan PH hanya ada beberapa bulan sahaja akan menempuh satu peperangan besar dalam pilihan raya umum, tidak bijak jika menukar Ketua Panglima Perang sewenang-wenangnya.
“Tengahari ini, saya terserempak dengan Ketua Pembangkang (Anwar) di luar Dewan Rakyat. Saya berasa kasihan apabila bertemu Anwar tadi, bukan dia sebagai Presiden PKR atau Pengerusi PH tetapi Anwar sebagai manusia biasa.
“Sejak PH kalah teruk di Pilihan Raya Negeri Melaka pada 20 November lalu, Anwar dihentam separuh mati.Beliau didesak ketepi. Didesak berundur. Bagi peluang orang muda pula memimpin.Macam langit nak runtuh menghempap kepala Anwar,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.
Bagaimanapun Hassan berkata, Anwar kelihatan tenang dan yakin – sekurang-kurannya itu gambaran luaran dilihatnya.
“Apa yang ada di dalam hatinya, tuhan sahaja yang tahu. Anwar dapat tenang dan tabah kerana beliau telah melalui musibah yang lebih dahsyat sebelum ini. Dia bukan orang yang mudah merajuk atau mudah patah hati,” katanya.
Dalam pemerhatian Hassan, sejak puluhan tahun mengenali Anwar, Presiden PKR itu mempunyai stamina perjuangan yang kental.
“Kelebihan ini perlu dicontohi pemimpin-pemimpin muda. Setiap kali Anwar tumbang dan rebah, dia akan bangkit kembali.
“Saya pun rasa bersalah apabila bertemu Anwar tengahari tadi. Muka berhadapan, budi kedapatan. Saya antara pihak yang awal mengkritik Anwar secara terbuka atas kegagalan PH dalam PRN Melaka,” katanya.
Bagaimanapun Hassan mendakwa semalam dan hari ini, mereka yang menyerang Anwar sudah melampau dan berlebih-lebih sedangkan para pemimpin utama lain dalam PH tidak pula diserang seteruk Anwar.
“Sebagai manusia biasa dan seorang anggota PKR, saya pun ada perasaan. Saya pun ada rasa kecil hati apabila pemimpinnya diserang secara tidak adil.
“Tetapi ada hikmahnya juga.Apabila serangan dan kecaman yang melampau dan berlebih-lebih terhadap Anwar, kesan sebaliknya berlaku. Timbul rasa simpati terhadap Ketua Pembangkang itu,” katanya.- MalaysiaGazette