Yahaya Othman ditemani Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor menunjukkan rampasan makmal mini memproses pelbagai dadah di rumah setinggan didalangi sindiket warga tempatan dan asing di sekitar KL berjaya ditumpaskan dalam serbuan Ops Terancang pada 17 November lalu dalam sidang media kejayaan JSJN di IPK KL pada Selasa 23 November 2021.Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket memproses dan membungkus pelbagai jenis dadah yang menjadikan penempatan setinggan haram di sebelah Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban baru-baru ini.

Sindiket didalangi warga tempatan dan warga India itu dipercayai bergerak aktif memasarkan dadah untuk pasaran tempatan di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, polis mengadakan dua serbuan pada jam 2.30 petang pada 17 November lalu sebelum menahan enam ahli sindiket tersebut.

Operasi terancang itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Kontinjen Kuala Lumpur.

“Serbuan pertama di sebuah rumah haram di Batu 3 1/2 tepi Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan mencekup tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun.

”Hasil serbuan ini, polis merampas 58 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM145,000, 11 kilogram heroin gred 3 bernilai RM147,400, 181 gram heroin gred 4 bernilai RM16,920,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen di sini petang tadi.

Dalam serbuan sama, dadah seberat 2.6 kilogram dadah jenis methaphetamine bernilai RM93,600 dan 50 kilogram kafein bernilai RM17,000 turut dirampas, selain pelbagai jenis peralatan dan perkakasan makmal memproses dadah.

Bagaimanapun, ujian air kencing empat suspek terbabit negatif dadah.

Serbuan kedua di Kampung Udara Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur berjaya menahan dua lagi lelaki termasuk seorang warganegara India berusia 21 dan 25 tahun.

Kedua-duanya positif dadah methaphetamine,” ujarnya.

Menerusi dua serbuan itu, polis berjaya merampas dadah keseluruhan bernilai RM419,920 dan menyita empat buat kereta bernilai RM119,000.

Keseluruhan rampasan dadah itu boleh digunakan seramai 243,562 penagih dadah

Yahaya tidak menolak kemungkian sindiket ini ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap bagaimanapun polis sedang meneruskan siasatan lanjut.

Kesemua telah direman di bawah Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari mulai 18 November hingga 24 November ini dan akan disambung reman untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette